BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, December 22, 2006

Khutbah Jumaat 22 disember 2006

AIDS MENGANCAM KESEJAHTERAAN MANUSIA
( 22 Disember 1006 / 01 Zulhijjah 1427 H )
Sempena Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2006
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ أَمَرَنَا بِأَنْ نَعْمَلَ الصَّالِحَاتِ، أَشْهَدُ أَنَّ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ شَهَادَةً تُنْجِىْ قَائِلَهَا عَنِ الْمُهْلِكَاتِ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ السَّادَاتِ. فَصَلَوَاتُ اللهِ وَسَلاَمُهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ خَيْرِ الْعِبَادِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُوْنَ، إِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
MUSLIMIN YANG DIMULIAKAN,
Marilah kita bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Melaksanakan segala apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang, kerana insan yang bertakwa itu adalah insan yang bertanggungjawab. Mudah-mudahan kita beroleh keredhaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Allah s.w.t. telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik rupa dan bentuk. Dan Allah telah memuliakan manusia berbanding dengan makhluk-makhluk-Nya yang lain, anugerah kemuliaan ini tidak lain adalah kerana menusia mempunyai kemampuan menguasai kebijaksanaan dengan akal fikiran. Dimana dengan akal fikiran manusia mampu membezakan antara yang hak dan yang batil.
Justeru, apabila akal fikiran manusia sentiasa dimanfaatkan dengan baik serta diasah sehingga mencapai tahap kematangan, maka akan bertambahlah kematangan dan pengalaman dalam hidup. Seterusnya bertambahlah nilai keimanan dalam diri seseorang serta menjadikan mereka lebih dekat dan takut dengan Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah al-Fathir ayat 28 :
Yang Bermaksud : " dan demikian pula diantara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah (melanggar perintah-Nya) dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun ".
Maka atas dasar inilah Islam sentiasa mengesa setiap umatnya agar mencari ilmu dan menjaga akal fikiran serta berusaha menjadi insan yang berguna untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.
HADIRIN SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Berdasarkan kemuliaan manusia berbanding dengan makhluk-makhluk Allah yang lain, maka telah diberi kepada manusia sifat khusus iaitu tanggungjawab memikul amanah Allah yang tidak tertanggung oleh makhluk-makhluk lain. Walaupun makhluk itu besar dan gagah berbanding manusia seperti matahari, bulan, bintang, bukit bukau, haiwan dan sebagainya. Dimana makhluk ini hanya besar pada bentuknya sahaja tetapi kecil pada kebolehan dan kesanggupan untuk menjadi makhluk Allah yang terbaik bagi memikul amanah-Nya.
Kerana itulah, Allah s.w.t. telah membekali manusia dengan akal fikiran semenjak manusia dilahirkan lagi. Sekiranya akal ini dikembangkan, maka dengannya manusia akan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk dalam tindakan atau yang benar dan yang salah dalam keyakinan.
Kemudian Allah telah menurunkan kepada manusia petunjuknya yang berisi ketegasan tentang baik dan buruk atau apa yang benar dan yang salah dalam firman-Nya :
Yang Bermaksud : " (kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan menginkari kebenaran atau menderhaka)".
( Surah al-Insan ayat : 3 )
HADIRIN SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Menyedari hakikat ini, Mimbar Jumaat pada hari ini ingin mengingatkan para jamaah sekelian kepada suatu masalah yang boleh merosakkan keistimewaan dan kemuliaan akal fikiran manusia yang telah dikurniakan oleh Allah demi kesejahteraan hidup manusia. Perkara yang dimaksudkan ialah penyakit AIDS yang kini menjadi penyakit sejagat yang belum ada ubat dan penawarnya.
AIDS atau disebut sebagai Sindron Kurang Daya Tahan Penyakit adalah disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai HIV yang menyebabkan kegagalan sistem tubuh untuk melawan penyakit kerana kuman HIV telah memusnahkan sel yang bertanggungjawab melawan penyakit disebabkan oleh kuman, bakteria, virus dan lain-lain.
MUSLIMAN YANG DIMULIAKAN,
Usaha untuk mencegah dan mengatasi AIDS telah dijalankan sejak lebih 20 tahun lalu. Namum masalah ini masih membelenggu kitaran hidup masyarakat di negara kita ini. Ibarat duri dalam daging, kerana masalah AIDS ini sentiasa menimbulkan keresahan dikalangan masyarakat mahupun penggubal polisi negara.
Secara global AIDS telah membunuh lebih 25 juta orang sejak ia mula dikesan pada tahun 1981. Jumlah kanak-kanak dan remaja yang dijangkiti HIV mencecah 40.3 juta pada tahun 2005, jumlah yang paling tinggi pernah dicatat. Di Malaysia sehingga Disember 2005, sebanyak 71,676 kes jangkitan HIV dilaporkan dan sebanyak 7,195 kes kematian dengan nisbah 3 kematian akibat AIDS dalam sehari, manakala 20 kes baru HIV dikesan setiap hari di seluruh negara.
Berdasarkan fakta yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia tersebut, ianya cukup menakutkan kita. Dan diantara punca merebaknya penyakit AIDS ialah melalui saluran yang sememangnya diharamkan oleh Allah s.w.t. atau dikenali sebagai sindron akibat hasutan iblis, dadah dan seks. Dimana punca utama merebaknya jangkitan virus HIV adalah melalui aktiviti seks bebas, homoseksual, lesbian dan penagihan dadah secara perkongsian jarum suntikan yang telah tercemar dengan kuman HIV.
HADIRIN SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan tarikh 01 Disember setiap tahun sebagai Hari AIDS Sedunia sejak tahun 1988, maka bulan Disember tahun 2006 ini merupakan tahun ke 19 hari AIDS di peringati diseluruh dunia.
Hari AIDS Sedunia merupakan satu kempen untuk meningkatkan kesedaran berkaitan penyakit AIDS atau bahaya HIV. Dan diharap dengan melalui kempen ini pesakit-pesakit HIV dan orang awam dapat mengetahui tentang bahaya penyakit AIDS serta penyakit-penyakit yang timbul akibat HIV.
Maka dalam hal ini, Malaysia turut sama berusaha menangani wabak AIDS bersama-sama negara-negara lain dengan memberi komitmen diperingkat serantau dan dunia dalam konteks pencegahan dan kawalan HIV. Dan hasilnya Malaysia mencapai semua sasaran kemajuan yang ditetapkan kecuali sasaran membendung wabak HIV. Kerana itu, Y.A.B. Datuk Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri telah memberi penekanan dalam perkara ini dan menyeru semua pihak samada kerajaan mahupun bukan kerajaan berganding bahu bagi mencapai sasaran tersebut iaitu mengurangkan jangkitan HIV di Malaysia.
Sebagai contohnya, bagi penagih-penagih dadah yang telah dijangkiti HIV dan mereka masih aktif seks. Ini bermakna jangkitan virus HIV akan disebarkan kepada pasangan mereka seperti isteri dan merebak kepada anak-anak. Situasi inilah yang mengakibatkan wabak HIV akan menjadi lebih parah kerana ianya akan menular dikalangan keluarga dan masyarakat umum. Maka bagi memastikan virus HIV dapat disekat. Aktiviti saringan HIV yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan hendaklah mendapat sokongan dan kerajasama semua pihak seperti saringan HIV kepada ibu mengandung, ujian darah kepada bakal pengantin dan ujian HIV tanpa nama yang dijalankan di klinik kesihatan kerajaan secara percuma.
SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
Marilah kita sama-sama menginsafi diri sejauhmana kita telah menjalankan amanah Allah manjaga diri, keluarga dan mereka yang berada dibawah jagaan kita agar mereka selamat dari penyalahgunaan dadah dan perkara-perkara mungkar yang boleh menjerumus diri ke lembah kehinaan dan azab siksaan api neraka Allah s.w.t.
Seterusnya dalam usaha kita membendung masalah AIDS, adalah tidak wajar dibebankan kepada pihak tertentu dan disalahkan pihak tertentu. Malahan setiap ahli masyarakat bermula daripda individu, keluarga, masyarakat dan negara hendaklah menghayati ajaran Islam yang merupakan sistem hidup yang lengkap mengatur hidup menusia. Jangan kita terpedaya oleh hasutan dunia dan hawa nafsu sehingga kita merasakan tidak berdosa melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, kerana hanya orang-orang yang beriman dan mempunyai akidah yang betul sahajalah dapat menjiwai ajaran Islam dan menghayatinya dalam kehidupan mereka. Seperti firman Allah :
Yang Bermaksud : " Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada kitab Allah dan Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu diantara mereka, hanyalah mereka berkata : " kami dengar dan kami taat" dan mereka itulah yang beroleh kejayaan ".
( Surah an-Nur : 51 )
KAUM MUSLIMIN SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Di antara perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal diri, keluarga dan masyarakat kita dari terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang mengundang kepada penyakit AIDS di antaranya :
Anak-anak hendaklah dididik dengan didikan agama yang sempurna. Tanamkan penghayatan akidah dalam hati dan jiwa mereka disamping sentiasa mengawasi dan memastikan mereka tidak mengabaikan kewajiban ibadah kepada Allah s.w.t.
Ibu bapa hendaklah menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dan sentiasa memberi tunjuk ajar yang baik kerana anak-anak merupakan amanah dari Allah s.w.t.
Jauhi anak-anak dan keluarga kita daripada sebarang bentuk hiburan yang melalaikan dan pastikan mereka sentiasa menutup aurat serta jangan biarkan mereka bergaul bebas sesama lelaki dan perempuan yang boleh mendekatkan kepada zina.
Kerjasama semua pihak amat penting dalam membendung wabak AIDS terutama kempen mencegah HIV dan AIDS.
Para pendidik, ketua-ketua dan para pemimpin masyarakat dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, hendaklah sama-sama mendidik generasi dan ummat Islam dengan penghayatan roh Islam yang sebenar dengan sentiasa memberi contoh tauladan yang baik.
أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ،
Maksudnya : “Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana)”.
( al-Taubah Ayat : 71 )
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

4 comments:

z a t d i n said...

wa besnyer ade khutbah
kat cni khutbah pasal raye aji
neway tell me whos the khatib ntok khutbah aids nih

Anonymous said...

weyh, smpy skang nihh aku t'tny2 sape laa makhluk yg bt blog nihh...
smpy x leh tido dbtnyer...hahaha!

Anonymous said...

dedicate specially 2 alip sopian...alip, spe ehh yg bt blog nihh?!!!

Anonymous said...

hrizshah ko rse spe ek!!!!!! nie nk kne men tka tki jek nie......kot yer pown bgi r plihn jwpn ek.......