Umat Islam kini berhadapan dengan
cabaran dan ujian yang semakin rencam.
Biarpun penjajahan bentuk ketenteraan
tidak lagi berlaku tetapi kita masih
diserang kiri dan kanan setiap hari.
Ini terutamanya melalui pelbagai promosi
oleh golongan kufar yang tidak
senang terhadap orang Islam. Ini
termasuk mengkomersialkan sambutan Hari
Kekasih pada setiap 14 Februari agar
orang Islam turut sama merayakannya.
Sikap ingkar mereka dijelaskan menerusi
firman Allah, Orang-orang Yahudi
dan Nasrani tidak sekali-kali akan
bersetuju atau suka kepadamu (wahai
Muhammad) sehingga engkau menurut agama
mereka (yang telah terpesong
itu)... (al-Baqarah: 120)
Kepada wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN
dan jurufoto HAYAT SUEET, Dekan
Pembangunan Mahasiswa Kolej Universiti
Islam Antarabangsa Selangor (KUIS),
Muhammad Subari Ramli mengulas hal ini.
MEGA: Apakah konsep kasih sayang menurut
Islam?
SUBARI: Islam meletakkan cinta yang
paling agung adalah kepada Khalik atau
Pencipta iaitu Allah s.w.t.
Bagaimanapun, pada masa yang sama Islam
tidak
menolak naluri kasih sayang yang
diciptakan kepada makhluk. Namun, kasih
sayang ini masih terbatas dan tidak
boleh melebihi cinta kepada Pencipta.
Dalam konteks cinta yang merata ini ia
meliputi bukan sahaja kepada tuhan,
manusia dengan manusia tetapi juga
manusia kepada makhluk lain ciptaan
Allah. Contohnya kepada haiwan dan
tumbuhan juga perlu diberi kasih sayang.
Cuma ia tentunya berbeza dengan kasih
sayang sesama manusia.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam satu
hadis yang bermaksud, rahmatilah apa
yang ada di bumi maka yang di langit
juga akan merahmati kamu.
Dalam Islam, bandingan kasih sayang
Muslim itu ibarat satu tubuh apabila
dicubit paha kanan paha kiri pun terasa
sakitnya.
Para sahabat Rasulullah dahulu semuanya
mendahulukan cinta kepada Allah dan
Rasul melebihi diri sendiri. Mengapa
perasaan begitu tidak ada lagi dalam
diri kita hari ini?
SUBARI: Antara sebabnya kita tidak lagi
dibentangkan dengan kisah-kisah
iktibar seperti cintanya khalifah Abu
Bakar kepada Rasulullah s.a.w yang
melebihi daripada cinta kepada diri
sendiri.
Demikian juga kerelaan Saidina Ali
menggantikan Rasulullah s.a.w di tempat
tidurnya dalam peristiwa hijrah Baginda
bersama Abu Bakar. Pada logik akal,
sudah tentu menjadi pengganti Rasulullah
s.a.w itu bakal berhadapan maut
tetapi kerana kasihkan Baginda, Saidina
Ali sedia berkorban.
Namun, kini kita sering dibentangkan
dengan slogan seakan-akan keagungan
cinta sesama manusia itu melebihi
daripada yang lain. Ia disajikan kepada
kita hampir setiap hari menerusi media
massa terutamanya menerusi
televisyen seperti filem-filem hindustan
dan sebagainya.
Pendek kata, kita tidak ada asuhan dalam
konteks pembinaan akidah bagi
merasai atau memberi kasih sayang dalam
erti kata mentaati Pencipta.
Malah, apa yang sering berlaku, apabila
menonton filem hindustan ramai yang
melewat-lewatkan solat dan mungkin juga
ada yang terlepas solat dek asyik
menonton. Lebih malang lagi, mungkin
inilah sikap orang dewasa khususnya
ibu bapa yang kemudiannya diteladani
oleh anak-anak.
Dalam ayat 120 al-Baqarah ditegaskan
tentang orang kafir itu tidak akan
reda selagi kamu tidak mengikuti mereka.
Namun, masih ada umat Islam yang
terpengaruh dengan perbuatan golongan
kafir antaranya menyambut Hari
Kekasih. Kenapa ini masih berlaku?
SUBARI: Pertama, kita perlu bentangkan
maklumat sebenar tentang kisah Hari
Kekasih ini. Melalui sejarah Valentine
meskipun mempunyai pelbagai versi,
jelas ia dapat disabitkan dengan budaya
Kristian yang menyatakan
Valentine´s Day untuk memperingati
kematian tragis seorang Paderi iaitu St.
Valentine yang dibunuh oleh Raja Romawi
yang bernama Raja Claudius II
(268-270M).
St. Valentine dihukum bunuh kerana
mengahwinkan ramai askar secara rahsia
sedangkan undang-undang Rom ketika itu
menghalang golongan muda berkahwin
atau berkeluarga sebaliknya dikerah
untuk menjadi tentera.
Dia juga adalah ikon kasih sayang yang
diwujudkan oleh Pope Gelasius I
(496M) untuk mendekatkan masyarakat Rom
kepada agama Kristian melalui satu
sambutan perayaan gereja. Ia juga bagi
menyaingi perayaan Paganisme Romawi
kuno iaitu Lupercalia (perayaan untuk
Dewa Lupercius dengan mempersembahkan
korban binatang).
Apabila fakta ini sudah dibentangkan
maka remaja Islam khususnya boleh
membaca dan memahami mengapa Islam
melarang sambutan Hari Kekasih.
Kedua, pada masa yang sama, media boleh
membantu dengan mengurangkan aspek
komersial program-program yang menjurus
kepada ikutan agama lain.
Mengikut sejarah, orang Nasrani pun
tidak merayakan hari ini tetapi apabila
dikomersialkan maka sambutannya terus
melonjak. Seolah-olah ia mesti
dirayakan setiap tahun.
Ketiga, kita juga perlu menjelaskan
hukum Islam terhadap sambutan ini.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani
Zakaria pada tahun 2004 menyatakan bahawa
menyambut Hari Kekasih adalah diharamkan.
Apabila ada unsur ritual agama lain dan
kita pula sama-sama raikannya,
seakan-akan kita reda dengan perbuatan
menyekutukan Allah (syirik)
sedangkan syirik adalah dosa yang tidak
terampun.
Ini ditegaskan dalam mafhum-Nya,
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan
dosa orang yang mempersekutukan- Nya
dengan sesuatu dan akan mengampunkan
(dosa) selain kesalahan (syirik) bagi
sesiapa yang dikehendaki- Nya...
(al-Nisa´: 116).
Ada yang mendakwa perbuatan menyambut
Hari Kekasih ini hanyalah budaya dan
suka-suka bukannya melibatkan akidah.
Betulkah pendapat begini?
SUBARI: Pendapat sebegini adalah
berdasarkan nafsu semata-mata. Lazimnya,
orang bercinta atau sedang angau akan
ketepikan fikiran yang waras.
Ijmak ulama memutuskan bahawa
keterlibatan seseorang dalam ritual agama
lain adalah salah satu unsur fasik dan
merosakkan akidah.
Dalam sebuah hadis, Baginda s.a.w
mengingatkan, "Barang siapa menyerupai
satu kaum, maka dia termasuk golongan
mereka". (riwayat Imam Abu Daud)
Pendek kata, umat Islam tidak boleh
mencampur-adukkan akidah dan
peribadatan agama Islam dengan akidah
dan peribadatan agama lain.
Ini berdasarkan firman Allah yang
bermaksud, Katakanlah (wahai Muhammad):
Hai orang kafir. Aku tidak akan
menyembah apa yang kamu sembah dan kamu
tidak mahu menyembah (Allah) apa yang
aku sembah. Dan aku tidak akan
beribadat secara kamu beribadat dan kamu
pula tidak mahu beribadat secara
aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan
bagi aku agamaku. (Al-Kafirun:
1-6)
Tetapi kalau kebetulan kita membeli
hadiah untuk isteri atau suami tanpa
niat sambut Hari Kekasih itu tidak
salah. Yang penting jangan ada niat
walau sedikitpun untuk meraikan hari
tersebut.
Kalau ada sedikit niat untuk sama-sama
meraikannya, maka hendaklah
cepat-cepat kita sedar dan beristighfar.
Sebabnya, perkara ini walaupun
nampak enteng tetapi menjejaskan akidah.
Jangan kita diperdayakan oleh syaitan
yang telah bersumpah memperelokkan
maksiat kepada kita dalam usaha
menyesatkan umat Islam. Ini ditegaskan oleh
Allah dalam surah al-Hijr ayat 39.
Bagaimana pula Islam mengajar umatnya
dalam berkasih sayang terutama kepada
ibu bapa, suami isteri dan keluarga?
SUBARI: Pertama, Islam tidak ada tempoh
masa tertentu untuk kita pamerkan
kasih sayang. Sayangnya, dalam
masyarakat Melayu ada kecenderungan hanya
pilih waktu tertentu contohnya mohon
maaf hanya bila tiba Hari Raya
Aidilfitri.
Sebenarnya, kasih sayang ini perlu
ditunjukkan setiap masa. Contohnya kasih
kepada isteri dan anak-anak. Orang muda
mestilah mengasihi yang lebih tua
dalam erti kata menghormati mereka.
Kedua, motivasi berkasih sayang
berdasarkan tuntutan agama. Kita
mengasihani mereka kerana agama ini
menuntut demikian. Bukan kerana harta
mereka atau sebagainya.
Malah, ketaatan kita juga tidak melampau
sehingga sanggup melakukan
kejahatan atau maksiat semata-mata
memenuhi kehendak mereka.
Ketiga, pamerkan kasih sayang kita.
Tunjukkan melalui tutur kata dan
tindakan yang baik. Pendek kata,
tunaikan segala tanggungjawab yang
dianjurkan oleh syarak kepada mereka.
Lebih daripada itu, tidak salah
mempamerkannya sekali-sekala melalui
pemberian hadiah atau ucapan cinta.
Allah yang Maha Pencipta tetap mengasihi
hamba-Nya tanpa perlu sebab atau
balasan. Malah Allah tetap melimpahi
nikmat walau dibalas dengan
kemungkaran. Di sinilah beza kasih kita
berbanding sifat Maha Pengasih
Pencipta
Aktiviti hujung minggu:Main bowling
13 years ago
0 comments:
Post a Comment